Preparation for Nasyid Competition in UUM
>> Selasa, September 29, 2009
Salam sejahtera ke atas semua muslimin dan muslimat sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. Sesungguhnya Allah dan para malaikat sentiasa berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawat dan mengucap salamlah kamu ke atas Nabi S.A.W.
Pada 2 Oktober 2009 bersamaan hari Jumaat ini, saya bersama-sama anggota kumpulan nasyid Far-E-ZeeN dan ASRAR akan bertolak ke Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menyertai pertandingan nasyid peringkat IPT seluruh Malaysia. Ini merupakan kali ke-2 kami akan menjejakkan kaki ke sana setelah buat kami pertama pada tahun lepas bagi program yang sama. Pada pertandingan nasyid yang lalu, Alhamdulillah, kami berjaya mendapat tempat pertama. Walaupun begitu, kami tidak mudah berasa selesa dengan kejayaan tersebut kerana semua kejayaan dan ketentuan itu hanyalah ada pada Yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui. Oleh itu, kami akan berusaha sebaik mungkin bagi mengekalkan kedudukan kami.
Nak dijadikan cerita, kami mendapat surat tawaran untuk menyertai pertandingan tersebut pada hari Rabu minggu terakhir sebelum Raya. Keesokan harinya, masing-masing pulang ke rumah. Jadi kami tak sempat berkumpul untuk berbincang tentang persiapan untuk pertandingan nasyid tersebut. Sebelum pulang, salah seorang daripada kami berjumpa dengan pegawai Aktiviti Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP), UiTMPP atas urusan pergerakan sepanjang pertandingan termasuklah makan, penginapan, pengangkutan dan segala yang berkaitan. Semasa perjumpaan tersebut, kami dimaklumkan bahawa Timbalan Pengarah HEP, Allahyarham Prof Madya Ahmad bin Ismail meminta kami menyertai pertandingan tersebut. Menyedari itu merupakan hasrat terakhir beliau sebelum meninggal dunia di Hospital Klang akibat serangan sakit jantung, kami bersungguh-sungguh menyertai pertandingan ini walaupun terasa amat sebak di dada, menangisi pemergian beliau pada minggu lepas, raya ke-4. Beliau sangat banyak membantu dalam kegiatan persatuan kami.
dalam kenangan : Allahyarham Prof Madya Ahmad bin Ismail (kiri) bersama dengan Prof Madya Mohd Zaki bin Abdullah, Pengarah Kampus UiTMPP.
Malam tadi, kami memulakan latihan nasyid. Pada mulanya agak sukar sedikit kerana kami membawa lagu baru. Jadi lirik dan rentak lagu belum kami kuasai sepenuhnya lagi. Insya-Allah, dengan kesempatan masa yang ada, kami akan menguasainya dalam masa terdekat memandangkan hari pertandingan semakin menjelang (3 hari sahaja lagi!). Banyak lagi yang belum dibuat, termasuklah tumpuan kepada suara harmonis, gaya dan tempo dengan percussion.
Latihan kami bermula pada jam10.00 malam dan ditangguhkan pada jam12.00 tgh malam tadi. Sesampai sahaja di bilik, saya diminta rakan sejawat untuk membuat banner untuk pertandingan kami bagi kedua-dua kumpulan. Dengan ilmu yang sedikit di dada ini, alhamdulillah berjaya saya siapkan. Insya-Allah, sekiranya dilapangkan esok, boleh saya tempah banner ni di CC kolej.
Doakan kami berjaya di UUM nanti.